KUALA LUMPUR 7 Jan. – Lelaki Malaysia dikatakan lebih bersifat penyayang dan sikap itu menjadi sebab terpenting mengapa wanita Indonesia gemar memilih mereka sebagai suami.
Bagi lelaki tempatan yang berkahwin dengan wanita seberang pula, mereka meletakkan kelembutan tingkah laku wanita dari republik itu sebagai daya tarikan utama.
Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia mendapati pasangan suami isteri yang terdiri daripada lelaki Malaysia dan wanita Indonesia menolak persepsi umum kononnya perkahwinan mereka adalah untuk memudahkan wanita Indonesia mendapatkan kerakyatan negara ini.
Seorang wanita Indonesia yang bekerja di sebuah restoran di sini, Misna Seling, 33, berkata, andai kata dia diberikan peluang sekali lagi dia tetap akan memilih untuk mengahwini lelaki Malaysia.
“Pada saya, lelaki Malaysia lebih penyayang dan lebih memahami diri wanita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Misna sudah 18 tahun menetap di Kuala Lumpur dan telah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki rakyat negara ini.
Menurut Misna, dia tidak menjadikan rupa paras atau harta kekayaan sebagai tarikan untuk berkahwin.
“Saya melihat pada hati budi lelaki Malaysia,” katanya.
Dia juga menolak tanggapan bahawa wanita Indonesia memilih lelaki tempatan kerana ingin mendapatkan taraf penduduk tetap di negara ini.
Misna mengulas kenyataan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim di Jakarta semalam yang meminta kajian dijalankan bagi mencari punca kenapa ramai lelaki Malaysia memilih calon isteri dari Indonesia.
Berdasarkan rekod Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, antara lima hingga 10 pasangan dari kedua-dua negara mendaftar setiap hari untuk bernikah.
Seorang pekerja gerai pakaian di Jalan Masjid India di sini, Ria Kantigi, 38, berkata, dia terdorong memilih lelaki Malaysia sebagai teman hidup kerana suaminya amat memahami dirinya.
“Mungkin jodoh saya ditakdirkan di Malaysia tetapi apa yang penting lelaki Malaysia lebih memahami dan menyayangi saya sepenuh hati,” tambahnya.
Ketika ditanya adakah wujud halangan keluarga kedua-dua belah pihak, Ria menjelaskan bahawa perkahwinannya dengan lelaki Malaysia mendapat restu keluarga.
Bagi Riyanti, 30, yang berasal dari Lombok di kepulauan Mataram, dia tidak kisah jika jodohnya di Malaysia ditakdirkan bersama suami orang.
“Memang orang kata perempuan Indonesia suka rampas suami orang, tetapi saya berasa kita bukan bertepuk sebelah tangan.
“Ada kalanya lelaki tempatan yang hendak sangat kepada wanita Indonesia,” katanya.
Kurang senang
Riyanti agak kurang senang dengan tanggapan kononnya wanita sepertinya mengahwini lelaki tempatan atas alasan harta dan kerakyatan.
Sementara itu, lelaki tempatan yang memilih pasangan hidup daripada kalangan wanita Indonesia pula membuat keputusan untuk berkahwin berdasarkan aspek jodoh dan layanan.
Bagi pemandu lori, Akbar Abdullah, 29, yang mengahwini seorang wanita rakyat Indonesia, berkata, wanita Indonesia lebih lembut, manja dan pandai melayan.
“Bukan hendak kata wanita tempatan tidak begitu, tetapi itu adalah salah satu sebab selain sudah ditakdirkan itulah jodoh kami,” katanya.
Akbar yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga dengan gadis seberang mengakui dia kini berasa amat bahagia.
Utusan Malaysia, 8 Jan 2008
0 komentar:
Post a Comment
Ada komen?